GAJI AWAL: CUEPACS NASIHAT PENJAWAT AWAM BIJAK BERBELANJA

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) — Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Adnan Mat menasihatkan penjawat awam untuk tidak berbelanja secara berlebihan agar dapat bertahan hingga kemasukan gaji seterusnya.

“CUEPACS merakamkan ribuan terima kasih atas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinannya untuk diawalkan pembayaran gaji dan BKKA bagi bulan April 2023.

“Gaji yang diterima itu sama pada setiap bulan sebenarnya jadi mereka (penjawat awam) telah pun meletakkan gaji itu untuk pembayaran tetap seperti bil utiliti, bayaran pinjaman dan perbelanjaan anak-anak yang bersekolah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata dengan langkah itu, penjawat awam boleh merancang perbelanjaan supaya bersesuaian dengan kewangan mereka, agar Aidilfitri mampu disambut dengan lebih selesa dan meriah.

Sebelum ini CUEPACS mencadangkan supaya tarikh pembayaran gaji penjawat awam diawalkan kepada 14 April ini daripada tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu 17 April.

Adnan turut berharap penjawat awam dapat menjadi pengguna yang bijak berbelanja dalam memenuhi kehendak mereka.

Sumber: BERNAMA