MAJLIS PELANCARAN KREDIT KOMUNITI

YB Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melancarkan Kredit Komuniti di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 5 April 2019. Kredit Komuniti merupakan nama baharu bagi pemberi pinjam wang (PPW) yang telah dijenamakan semula hasil cetusan idea YB Menteri KPKT sendiri.

Usaha penjenamaan semula ini bukan sahaja melibatkan perubahan dari segi nama PPW namun turut melibatkan perubahan dari segi imej, etika perkhidmatan perniagaan dan juga proses untuk mendapatkan lesen perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang berlesen. Penjenamaan semula kepada nama Kredit Komuniti akan memberi satu perspektif positif yang lebih mesra dan dekat dengan masyarakat sekaligus dapat mengikis pandangan dan persepsi buruk orang awam yang sering mengaitkan PPW berlesen ini dengan pelbagai label negatif seperti lintah darat, loan shark, terlibat dengan aktiviti kongsi gelap, sindiket gelap dan sebagainya.

Selain itu, papan tanda baharu dengan logo Kredit Komuniti yang dilengkapi dengan QR Code turut dilancarkan dalam majlis yang sama. Papan tanda ini akan diguna pakai oleh semua syarikat PPW baharu yang bakal menerima lesen daripada Kementerian manakala bagi syarikat PPW yang telah beroperasi, mereka diwajibkan untuk mengguna pakai papan tanda tersebut semasa pembaharuan lesen. Penggunaan papan tanda baharu ini akan dilaksanakan secara berperingkat. Penggunaan nama ‘Kredit Komuniti’ yang menggantikan nama ‘Pemberi Pinjam Wang Berlesen’ akan diwajibkan kepada semua syarikat PPW yang didaftarkan dibawah KPKT.

Dalam majlis yang sama, aplikasi mobil (mobile apps) i-KrediKom turut dirasmikan. Aplikasi ini memudahkan orang awam untuk membuat carian syarikat Kredit Komuniti yang berlesen di kawasan Semenanjung Malaysia. Selain daripada itu, ia memudahkan orang ramai membuat aduan dan semakan aduan. Aplikasi ini turut memberi penerangan mengenai hak sebagai peminjam dan jenis-jenis kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Pemberi Pinjam Wang 1951. Dipercayai orang ramai memperolehi manfaat daripada penggunaan aplikasi ini selaras dengan tagline Kredit Komuniti iaitu “Jadilah Peminjam Yang Bijak”.

Di samping penjenamaan semula syarikat PPW kepada nama Kredit Komuniti, Bahagian yang dipertanggungjawabkan mengawal selia syarikat PPW berlesen yang sebelum ini dikenali sebagai Bahagian Pemberi Pinjam Wang dan Pemegang Pajak Gadai di bawah KPKT turut dijenamakan semula kepada Bahagian Kawalan Kredit Komuniti atau BKKK.