Guru ditipu ‘pegawai penyiasat’, wang dalam akaun lesap

JOHOR BAHRU: Seorang guru berputih mata dan hanya ditinggalkan RM140 dalam akaunnya oleh ‘pegawai penyiasat’.

Lebih malang, mangsa berusia 51 tahun itu terpaksa membuat pinjaman sebanyak RM250,000 bagi membayar wang jaminan setelah diperdayakan terlibat dalam pengubahan wang haram dan dadah.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, mangsa menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan ketika menghubungi bank untuk menyemak baki wang dalam akaunnya, kelmarin.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima laporan mangsa pada 11.27 pagi mendakwa telah ditipu oleh pemanggil yang menyamar sebagai pegawai insurans mendakwa pengadu ada membuat tuntutan perubatan sejumlah RM68,800, Februari lalu.

Namun, pengadu telah menafikan perkara tersebut dan ingin membuat laporan polis bahawa maklumat diri telah salah digunakan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Semasa panggilan tersebut, pengadu disambungkan kepada Ibu pejabat Polis dan bercakap dengan penolong pegawai penyiasat untuk membuat laporan polis.

“Pengadu kemudian disambungkan panggilan kepada pegawai penyiasat dan pegawai tersebut mengatakan pengadu mempunyai kes berkaitan pengubahan wang haram dan dadah serta perlu membuat rayuan kepada pendakwa raya,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Beng Yeow berkata, pengadu dikehendaki memberikan maklumat akaun serta kawalan akses terhadap akaun tersebut dan diarah memindahkan wang ke dalam akaun bank miliknya.

“Pengadu diberikan ikat jamin oleh pegawai penyiasat kes namun perlu membayar wang berjumlah RM268,000.

“Pengadu telah membuat pinjaman sebanyak RM250,000 untuk menambah jumlah wang jaminan tersebut. Pengadu dimaklumkan bahawa duit akan dikembalikan setelah kes selesai,” katanya sambil menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan panggilan dan mesej palsu daripada mereka yang mendakwa sebagai pegawai bank, pegawai insurans atau agensi penguatkuasaan.

“Segala urusan perbankan hendaklah dibuat di kaunter bank dan bukan menerusi dalam talian. Jika orang ramai mempunyai maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi IPD Kulai menerusi talian 07-6632222,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Sumber:Utusan Malaysia