Pinjaman tak berbayar Aeon Credit meningkat sedikit

KUALA LUMPUR: Nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) Aeon Credit Service (M) Bhd menokok sedikit kepada 2.89 peratus pada suku keempat tahun kewangan 2023, berbanding 2.54 peratus pada suku ketiga 2023 dan 2.66 peratus pada suku sama tahun lalu.

RHB Investment Bank dalam satu penyelidikan bagaimanapun berkata, melangkah ke hadapan, angka ini diramalkan kembali menurun berikutan paras semasanya yang masih lagi tinggi berbanding purata prapandemik yang kurang daripada 2.75 peratus.

“Namun, perlindungan kerugian pinjaman (LLC) sebanyak 251 peratus (naik daripada purata sebelum 2018 iaitu kurang daripada 110 peratus) masih lagi memadai pada pandangan kami.

“Kos kredit pula susut kepada 273 mata asas pada suku keempat 2023 dan pihak pengurusan menjangka kos kredit akan jatuh lebih lanjut kepada kira-kira paras 250 mata asas pada tahun kewangan 2024,” kata bank pelaburan itu dalam nota yang disediakan bersama penganalisis, Nabil Thoo dan David Chong.

Keuntungan bersih AEON Credit bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2023 meningkat kepada RM 417.69 juta daripada RM 365.42 juta pada tahun sebelumnya.

Pendapatan meningkat 7.6 peratus kepada RM1.64 bilion daripada RM1.52 billion sebelumnya.

RHB Investment Bank berkata, pembiayaan kasar belum terima AEON Credit adalah sebanyak RM10.8 billion, peningkatan 9.9 peratus berbanding setahun lalu dan hanya kurang sedikit daripada sasaran pihak pengurusan iaitu kenaikan melebihi 10 peratus.

Ia berkata, pemacu utama untuk pertumbuhan ialah pembiayaan kenderaan yang meningkat tujuh peratus berbanding tahun lalu dan pembiayaan peribadi, menokok 15 peratus.

“Menuju ke hadapan, pihak pengurusan optimis untuk mencapai pertumbuhan pembiayaan belum terima dalam dua angka pada tahun kewangan 2024, yang akan diterajui oleh pembiayaan kenderaan (terutamanya motosikal dan kereta terpakai) dan pembiayaan peribadi,” katanya.

Bank pelaburan itu menambah, jumlah urus niaga dan pembiayaan berkembang 31 peratus tahun ke tahun kepada RM6.25 billion dan perkembangan ini memberikan kesan positif kepada pertumbuhan

pendapatan faedah Aeon Credit pada masa hadapan.

“Kumpulan masih lagi mempunyai modal yang mencukupi dengan nisbah kecukupan modal 27.1 peratus

setakat akhir Februari 2023,” katanya.

RHB Investment Bank tidak membuat sebarang perubahan kepada saranan ‘beli’ harga saham Aeon Credit dengan mengekalkan sasaran harga pada RM15.20.

“Kami percaya harga saham yang rendah baru-baru ini adalah peluang yang baik untuk mengumpul kaunter ini pada penilaian yang murah,” kata RHB Investment Bank.

Sumber: Berita Harian